KEPENTINGAN TAREKAT DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL

Posted: 1 June, 2013 in KERTAS KERJA ILMIAH, TAREKAT@TASAWUF

KEPENTINGAN TAREKAT DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL

IMAG0700

Selain daripada berdakwah melalui pena, beliau juga terlibat berdakwah dengan menyampaikan Kuliah Maghrib hampir setiap hari di masjid@surau

Oleh :

TUAN GURU DR HJ JAHID HJ SIDEK

Mantan Profesor Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM)

Istilah Tarekat (Tariqah) digunakan dalam tasawwuf dengan berbagai makna dan konsep mengikut berlainan aspek yang dihubungkan dengannya. Bagaimanapun tarekat yang dimaksudkan dalam kertas kerja ini adalah yang dikonsepkan oleh Rasulullah (s. ’a. w.) dalam sabda baginda sebagai jawapan terhadap pertanyaan ‘Ali bin Abi Talib (r.’a). ‘Ali bertanya:

يا رسول الله دلني على اقرب الطرق إلى الله وأسهلها على عباده وأفضلها عنده تعالى

Maksudnya :

“Ya Rasulullah tunjukkan atau ajarkan kepadaku satu tarekat dari berbagai tarekat yang paling dekat (untuk sampai kepada keredaan Allah dan mengenal-Nya) dan yang paling mudah (untuk diamalkan) oleh para hamba Allah dan paling afdal atau baik di sisi Allah”

Rasulullah (s. ‘a. w.) memberikan jawapan dengan sabdanya:

يا على عليك بمداومة ذكر الله سرا وجهرا

Maksud:

“Ya ‘Ali (jika engkau mahu tarekat yang engkau maksudkan itu) maka wajiblah engkau sentiasa kekal berdhikru-‘lLah secara sirr (dalam hati, tanpa suara) dan secara kuat (bersuara).”

Akhirnya ‘Ali (r. ‘a.) diajarkan zikir tahlil lisan  لا اله الا الله oleh baginda.[1]

Konsep tarekat yang disebutkan dalam sabda Rasulullah (s.a.w) itulah yang menjadi amalan khusus bagi golongan ulul albab seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, ayat 190-191 surah Al ‘Imran:

  [2]

Maksudnya :

“Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pertukaran (waktu) malam dan siang adalah sebagai ayat-ayat (tanda-tanda yang membuktikan keagungan dan kesempurnaan Allah) bagi golongan orang ulul-albab. Iaitu orang-orang yang (sentiasa) berdhikru-‘lLah (dalam apa juga keadaan), ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan (sambil mereka berdhikru-‘lLah itu) mereka tafakkurkan (ayat-ayat Allah) yang ada di langit dan bumi itu. (Mereka berkata, setelah lama mereka berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu) : Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan (seluruh langit dan bumi ini) sia-sia (tapi penuh hikmah) Mahasuci Engkau, maka peliharalah diri kami dari seksa neraka.”

Tarekat yang dimaksudkan di atas dianggap menjadi salah satu asas tasawwuf yang sangat penting Sheikh Abu Qasim al-Junaydi al-Baghdadi (w. 297H) pernah menegaskan:

ذكر الله ركن قوى في هذا العلم بل لا يصل أحد إلى الله إلا بدوام الذكر

Maksudnya :

“Dhikru-‘lLah adalah rukun atau asas yang penting dalam ilmu ini (tasawwuf). Bahkan seseorang tidak akan sampai kepada (mengenal dan keredhaan) Allah kecuali dengan kekal berdhikru-‘lLah.” [3]

Nabi (s.’a.w.) sentiasa kekal berdhikru-‘lLah sepanjang siang dan malam, kerana amalan tarekat diwajibkan ke atas diri baginda. Allah berfirman:

  [4]

Maksudnya :

“Dan ingatkanlah (Ya Muhammad) nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut (terhadap keagungan-Nya) dan dengan tidak bersuara di waktu pagi (siang) dan petang (malam) dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf: 205)

Dengan perintah Allah tersebut di atas maka hati Nabi (s. ‘a. w.) sentiasa berdhikru-‘lLah sepanjang masa siang dan malam, sehingga semasa baginda tidur pun hatinya terus berdhikru-‘lLah. Baginda pernah menyebutkan :

“Sesungguhnya kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur.”[5]

Dari fakta-fakta yang dijelaskan dapat kita simpulkan bahawa amalan sentiasa kekal berdhikru-‘lLah itu adalah menjadi amalan tetap Rasulullah (s. ‘a. w.) dan juga para sahabat (r.’a.h.). Golongan ulul albab yang sentiasa berdhikru-‘lLah seperti yang disebut dalam Ali Imran, ayat 191 itu adalah terdiri dari para sahabat. Mereka boleh berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu, kerana telah diajar oleh baginda Rasulullah (s.’a.w.)

Golongan Ashabu’s-Suffah adalah merupakan golongan sahabat yang sentiasa beribadat dan berdhikru-‘lLah. Kedudukan mereka begitu istimewa di sisi Allah. Nabi (s.’a.w.) diperintahkan supaya sentiasa mendampingi mereka dan jangan membiarkan mereka kerana desakan pemimpin-pemimpin Yahudi. Allah berfirman:

   [6]

Maksudnya:

“Dan bersabarlah engkau (ya Muhammad) bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka itu pada setiap pagi dan petang (sepanjang masa) kerana mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah engkau mengikuti (kemahuan) orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah urusan mereka ini melampaui batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)

Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib (r.’a.) sendiri pemah menceritakan keadaan sahabat-sahabat yang menjadi ahli suffah tersebut sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh ‘Arikah r.a. Antara lain riwayat tersebut menegaskan:

“Telah berkata ‘Arikah (r.‘a.): Aku telah bersembahyang subuh bersama-sama ‘Ali. Selepas ia (‘Ali) memalingkan muka ke kanan (memberi salam) maka iapun diam, seolah-olah ia bersedih, sehingga terbit matahari di atas tembok masjid setinggi satu galah. lapun sembahyang dua rakaat. Kemudian iapun menadah kedua tangannya sambil berkata: Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat Muhammad (s. ‘a. w.), tidak pemah aku lihat pada hari ini orang lain yang menyerupai mereka sedikitpun. Sesungguhnya mereka itu berpagi-pagi dengan keadaan rambut kusut masai dan pakaian mereka berdebu, wajah mereka pucat. Sesungguhnya mereka itu telah berjaga malam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah dan membaca kitab-Nya. Apabila tiba waktu pagi pula, mereka segera berdhikru-‘lLah dengan menggerak-gerakkan badan mereka seperti bergoyangnya pokok pada masa ribut. Demi Allah, telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka”.[7]

Berbagai tarekat yang terdapat seperti Ahmadiyyah, Naqshabandiyyah, Qadiriyyah, Samaniyyah, Idrisiyyah, Rifa’iyyah, Shadhaziliyyah dan sebagainya lagi adalah didasarkan kepada asas ajaran dhikru-‘lLah seperti yang terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah. Dapat kita simpulkan bahawa tarekat-tarekat yang mu’tabarah itu adalah sunnah mut’taba’ah.

Tarekat sebagai salah satu institusi amalan Islam yang wujud bersama lahirnya Islam mempunyai asas-asas atau prinsip-prinsipnya sendiri. Antara prinsipnya yang penting ialah:

  1. Taqwa.
  2. Taubat.
  3. Dhikru-‘lLah dan Tafakkur.
  4. Uzlah dan khalwat.
  5. Himmah yang kuat.
  6. Sentiasa dipimpin guru.
  7. Tujuan hidup hanya Allah dan keredhaan-Nya.
  8. Sentiasa menjaga adab.
  9. Mencari Ilmu khasnya Tauhid, Feqah dan Tasawwuf.
  10. Muhasabah diri.

PERANAN TAREKAT DALAM PENINGKATAN TAUHID

Proses mengenal Allah yang sebenar melalui dua tahap;

Pertama, peringkat Kasbi iaitu usaha ikhtiar kita dalam mendapatkan ilmu dan kefahaman mengenai Tauhid. Di peringkat  kasbi ini kita perlukan kitab Tauhid dan guru selain dari akal fikiran yang baik. Tercapainya ilmu dan kefahaman diperingkat kasbi ini dianggap sebagai tingkat Syari’at dan Tarekat.

Kedua, peringkat Laduni atau peringkat kurnia terus dari Allah yang biasanya akan dapat dicapai menerusi sentiasa kekal berdhikru-‘lLah dan tafakkur. Apa yang akan dikurniakan terus oleh Allah ke dalam hati/rohani ialah hakikat dan ma’rifah.

Peringkat laduni ini adalah menerusi dhikru-‘lLah dan tafakkur/muraqabah. Bila kita renungkan ayat 191 surah al-‘Imran yang telah disebutkan di atas kita dapati orang ulul albab yang sentiasa dhikru-‘lLah dan tafakkur itu mengucapkan:

Maksudnya :

“Ya Tuhan kami, Engkau tidak jadikan kejadian-kejadian ini dengan sia-sia (tapi penuh hikmah), Maha Suci Engkau Ya Allah dan peliharalah kami dari api neraka.”

Kata-kata mereka ini membuktikan bahawa mereka telah dikurniakan dan diperlihatkan sebahagian daripada Hakikat dan Ma’rifah-Nya itu hakikat sebahagian dari berbagai sifat dan perbuatan (af’al) Allah yang Maha Sempurna dan Maha Agung.

Kurnia Allah mengenai Hakikat dan Ma’rifah ini ada dijanjikan oleh Allah dalam al-Qur’an. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah pada jalan agama Kami nescaya Kami hidayatkan jalan-jalan agama Kami itu.” [8]

Kita bermujahadah dengan kesungguhan menerusi Syariat dan Tarekat-Nya dan yang akan dihidayatkan oleh Allah ialah Hakikat dan Ma’rifah-Nya.

Menurut Ibn ‘Ata’illah bahawa orang yang terus kekal berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu akan dapat rahmat dan kurnia Allah dengan dipindahkan darjat/taraf zikirnya itu sehingga Allah sahaja yang diingat. Katanya:

لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه لان غفلتك مع غير ذكره أشد عليك من غفلتك في ذكره فعسى أن يرفعك من ذكر مع غفلة إلى ذكر مع يقظة ومن ذكر مع يقظة إلى ذكر مع حضور ومن ذكر حضور إلى ذكر مع الغيبة عما سوى المذكور.[9

Maksudnya :

“Janganlah anda tinggalkan zikir disebabkan anda tidak dapat benar-benar ingat Allah dalam zikir anda itu, kerana kelalaian anda semasa tidak berdhikru-‘lLah itu lebih (buruk atau jahat) daripada lalainya anda semasa berdhikru-‘lLah itu. Mudah-mudahan Allah meningkatkan zikir anda dari zikir ghaflah kepada zikir yaqazah, dari zikir yaqazah kepada zikir khudur dari zikir khudur kepada zikir ghaibah”.

Tingkat dan kesan dhikru-‘lLah seperti yang dikonsepkan oleh Ibnu ‘Ata’illah di atas dapat kita lihat dengan gambarajah seperti di bawah ini :

Dhikru-‘lLah akan mudah dilakukan dan peningkatanya pun mudah dicapai bila dilakukan dalam khalwat selama 10 hari atau 20 hari atau 30 hari 40 hari. Khalwat ini biasanya dipimpin oleh seorang guru yang biasa dalam amalan tersebut. Guru itulah yang akan menentukan zikir seseorang itu telah berpindah atau belum.

Perubahan keadaan hati dari ghaflah atau lalai kepada yaqazah dan seterusnya kepada khudur dan ghaibah akan memberi kesan yang kuat terhadap amalan itu ditentukan oleh niat seperti yang Rasulullah sebutkan  :

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرء ما نوى

Maksudnya :

“Bahawasnya sanya amalan-amalan itu  (ditentukan kebaikkannya) dengan niat-niat dan seorang itu dapat kebaikkan dari amalannya setakat apa yang telah diniatkan.”

Yang dimaksudkan dengan “niat” ialah gerak hati. Bagaimana keadaan gerak hati itu ketika anggota melakukan sesuatu amal, dari mula hingga akhirnya, termasuklah sebelum dan sesudah selesai amal itu. Jika hati itu ghaflah (lalai) tentulah gerak hati sukar untuk menjadi baik dan benar. Sebaliknya jika hati itu yaqazah (sedar) atau khudur tentulah gerak hati itu mudah ditumpukan ke arah kebaikan dan keredhaan Allah.

Imam Ghazali membahagikan amalan puasa kepada puasa orang awam, puasa orang khawas dan puasa orang khawasul-khawas. Sebenarnya bukan hanya puasa yang dapat dibahagikan kepada tiga seperti itu, tetapi amalan-amalan lainnya pun sama sahaja. Orang awam ialah orang yang hatinya lalai, orang khawas ialah mereka yang hatinya yaqazah atau sedar dan orang khawasul-khawas ialah yang hatinya sentiasa khudur (sentiasa ingat Allah dan rohnya musyahadah kepada Allah).

Sembahyang orang awam tidak dapat khusyu’ kerana hatinya lalai. Orang khawas pula sembahyang mereka mula khusyu’ dan sembahyang orang khawasul-khawas penuh khusyu’.

Mungkin orang khawasul-khawas inilah orang yang sampai ke darjat ihsan yang Rasulullah (s. ‘a. w.) jelaskan bahawa ihsan itu ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya, jika tidak melihatnya maka Allah melihat anda.

Mungkin orang khawasul-khawas atau orang yang muhsin inilah juga orang yang disebut dalam ayat 191 surah Al-‘Imran dengan panggilan ulul-albab.

Dalam surah al-Ra’d ayat 19-22 Allah menjelaskan sebahagian sifat dan amalan golongan ulul-albab. Allah berfirman:

  [10]

Maksudnya :

“Apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepada engkau itu sebenarnya, sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal dapat mengerti. Orang-orang yang memenuhi perjanjian Allah, dan mereka tiada melanggar janji. Dan orang-orang yang memperhubungkan apa yang disuruh hubungkan oleh Allah, dan mereka takut kepada Tuhannya, dan mereka takut terhadap perhitungan yang buruk.. Dan orang-orang yang berhati teguh kerana mencari keredhaan Tuhannya, mereka tetap mengerjakan sembahyang, dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka dengan sembunyi dan terang-terangan, dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan; Inilah orang-orang yang memperoleh tempat diam yang baik kesudahannya.”

Dalam ayat-ayat tersebut Allah menjelaskan bahawa golongan ulul-albab boleh:

  1. Tadhakkur (ingat dan terbayang hakikat yang diingat).
  2. Menunaikan janji Allah bahawa Allah sahaja sebagi Tuhan mereka.
  3. Menunaikan dan ta’ at kepada hukum–hakam Allah.
  4. Sentiasa menjaga sebaik-baiknya hubungan sesama manusia.
  5. Takutkan kebesaran Allah.
  6. Takutkan buruk timbangan amal di padang makhsyar
  7. Sentiasa bersikap sabar kerana keredhaan Allah.
  8. Boleh mendirikan sembahyang.
  9. Membelanjakan harta dengan hati ikhlas
  10. Membalas kejahatan orang lain dengan kebaikan.

Dapat kita simpulkan bahawa golongan ulul-albab yang sentiasa ber dhikru-‘lLah dan tafakkur itu disampaikan oleh Allah ke peringkat hakikat dan ma’rifat dan amalan mereka menjadi ikhlas.

Menurut Ibnu ‘Ajibah bahawa amalan yang ikhlas ialah amalan yang mempunyai tiga ciri :

  1. التبرى من حول وقوة (Terasa tidak ada daya dan kekuatan)
  1. Ibadat yang dilakukan itu ada kurnia dan rahmat Allah.
  1. Hati ingat Allah sepenuhnya (ghayah al-khudur ma’l-Lah)

Menurut Ibnu ‘Ajibah dalam kitabnya Iqaz al-Himam, bahawa sembahyang ahli tarekat yang benar-benar menjadi ahli suluk dipimpin oleh sheikh akan mendapat enam hikmah. Seperti yang disebutkan dalam hikmah:

الصلاة مطهرة للقلوب واستفتاح لباب الغيوب ومحل المناجاة  ومعدن المصافاة تتسع فيها ميادين الأسرار وتشرق فيها شو ارق الأنوار.[11]

Maksudnya :

“Sembahyang itu membersihkan hati dari sifat-sifat jahat dan sembahyang juga sebagai pembukaan untuk masuk ke alam ghaib iaitu alam malakut dan jabarut. (sembahyang juga tempat munajat dan juga tempat pembersihan ruh dan hati di dalam sembahyang itu lapangan semakin luas kerana menerima berbagai hikmah dari Allah dan dalam sembahyang itu juga cahaya iman di dalam hati itu semakin bertambah terang).”


[1] ‘Abdul al-Qadir ‘Isa, Haqaiq ‘an al-Tasawwuf, Diwan Press, U.K. T. Tarikh, hlm. 84
[2] Al-Qur’an, al-‘Imran, 190-191
[3] Abd al-Samad Al-Falimbangi, Hidayatus’-Salikin, Pulau Pinang: Dar al-Ma’arif, 1353 H.) hlm. 36
[4] Al-Qur’an, al-A’raf, 205
[5] Abd al-Samad Al-Falimbangi, Hidayatus’-Salikin, hlm. 36
[6] Al-Qur’an, al-Kahfi, 28
[7] Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld VIII (Cairo: Kurdistan al-‘Ilmiyyah, 1348 H.), 6
[8] al-Qur’an, al-‘Ankabut, 69
[9] Ahmad bin Muhammad Ibn ‘Ajibah, Iqaz al-Himam, (Beirut, Dar al-Fikr: t.t) Jld. I, H. 79
[10] Al-Qur’an, Surah Al-Ra’d, 19-22
[11] Ahmad bin Muhammad Ibnu ‘Ajibah, Iqaz al-Himam,  (Beirut Dar al-Fikr, t.t.) Juzuk I, hlm. 172 – 174

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s